Press Release
Peranan cecair dalam gaya hidup aktif

Peranan cecair dalam gaya hidup aktif
Cecair memainkan peranan yang sangat penting untuk mengekalkan badan kita dalam keadaan yang terhidrat - tidak kontang atau kering, sepanjang masa. Dengan gaya hidup yang kian mendesak, kebanyakan daripada kita tidak pernah lupa untuk makan. Sebaliknya, kita sering mengabaikan pengambilan cecair sehinggalah menyebabkan penyahhidratan berlaku. Sehinggalah dahi berpeluh dan mulut menjadi kering, kita mungkin tidak banyak memikirkan tentang cecair atau bendalir. Mewujudkan pelan cecair sebagaimana pelan pemakanan sihat adalah penting dalam kehidupan seharian kita. Pengambilan cecair boleh berubah-ubah dari air, jus buah-buahan atau sayur-sayuran, minuman isotonik, susu serta buah-buahan dan sayur-sayuran yang sarat mengandungi air.

Cecair: Berapa banyakkah mencukupi?
Terdapat pandangan yang berbeza-beza tentang keperluan cecair di dalam tubuh badan manusia. Adalah dianggarkan, orang dewasa kehilangan kira-kira satu hingga dua liter cecair sehari menerusi perpeluhan, pembuangan air kecil dan besar serta pernafasan. Kita hilang lebih banyak cecair jika aktif secara fizikalnya.
Dalam pada keperluan individu yang pelbagai; bergantung kepada berat badan, iklim dan tahap aktiviti, secara umumnya kita disarankan minum sekurang-kurangnya lapan gelas (240 ml segelas) bersamaan dua liter air, sehari.

Minum cecair, kenapa penting?
Badan kita mengandungi sehingga tiga suku cecair. Itulah sebabnya, perlu untuk kita mengekalkan tahap pengambilan cecair yang memadai.
Setiap bahagian tubuh kita, dari sel individu ke sistem peredaran seluruhnya, adalah bergantung kepada cecair.
Buah pinggang kita yang menapis bahan-bahan tercemar dari aliran darah dan mengumuhkannya melalui air kencing, memerlukan minimum satu liter cecair untuk berfungsi dengan sempurna.
Tanpa cecair, seseorang boleh mati dalam tempoh tiga hari sedangkan kita masih boleh hidup sehingga lapan minggu lamanya tanpa makanan. Begitulah jika hendak digambarkan betapa gentingnya untuk mengekalkan badan anda dihidrat.
   
Masa untuk minum
Dahaga bukanlah petunjuk yang bagus bahawa sudah tiba masanya, tubuh seseorang memerlukan cecair. Malah, ia merupakan satu petanda badan telah memasuki tahap penyahhidratan awal. Adalah penting bagi kita menambah cecair di dalam badan sekali pun sebelum berasa dahaga. Air perlu diminum dalam jumlah sederhana setiap jam, pada hari bekerja.

Kenapa kita sering melupakan pengambilan cecair?
Satu tinjauan yang dikendalikan oleh Temasek Polytechnic, dengan kerjasama Asian Food Information Centre (AFIC) di Singapura pada tahun 1998 mendapati, sebanyak 20 peratus daripada 400 responden terlupa untuk minum! Sementara itu, sebanyak lima peratus lagi berkata, ia merupakan sesuatu yang ``amat menyusahkan’’ mencari sesuatu untuk diminum manakala tiga peratus menyatakan, mereka tidak mahu kerap ke tandas. Sejumlah besar responden tidak menyedari bahawa sesungguhnya, badan kita mengandungi sehingga tiga suku cecair - sebab mengapa sangat penting bagi kita untuk mengekalkan tahap pengambilan cecair.
   
Apakah yang ada di dalam cecair anda?
Dewasa ini, terdapat pelbagai jenis cecair yang boleh kita pilih. Jadi, tiada alasan untuk kita tidak minum secukupnya.
Air masak atau air putih - pilihan masa dahulu yang paling baik sehingga kini, baik suam atau sejuk. Sehiris lemon atau limau nipis yang ditambahkan ke dalam air memberikan perubahan rasa yang menyegarkan.
Susu - segelas susu rendah lemak didatangkan bersama dengan kalsium, protein dan air. Kesegaran susu kocak yang diperbuat daripada buah-buahan segar amat menyedapkan.
Minuman isotonik - sumber yang baik untuk menggantikan bahan elektrolit seperti kalium, klorida, natrium dan magnesium bagi mereka yang tidak tahan dengan keadaan panas dan lembap di mana peluh tidak dapat dielakkan dan, terutamanya mereka yang aktif atau terlibat di dalam aktiviti berpanjangan. Pelbagai perasa minuman isotonik seperti lemon dan oren menggalakkan hidrasi dengan cara meningkatkan kesedapan rasanya.
Jus buah-buahan dan sayur-sayuran segar - cara yang baik untuk memulakan hari anda memandangkan ia menyediakan vitamin dan mineral, dengan syarat anda hendaklah meminumnya sebaik sahaja disediakan
Teh - sama ada hijau, hitam atau teh oolong terbukti mempunyai flavonoid, menjadikannya satu lagi pilihan cecair yang menarik. Kopi, terutamanya kopi ais sangat menyegarkan dibuat minum petang. Bagaimanapun, pengambilan minuman berkafeina secara berlebihan mempunyai sedikit kesan diuretik (kerap membuang air kecil).
Sup - pembuka mulut hidangan yang masih digemari sejak lama dahulu ini turut menawarkan jumlah cecair yang baik.
Buah-buahan dan sayur-sayuran segar - limau, tembikai, epal, semangka, anggur, tomato dan mentimun mengandungi antara 70 hingga 80 peratus air dengan sasaran lima hidangan sehari.
Manisan pencuci mulut dalam jumlah yang dibenarkan seperti ais kacang, cendol atau tau-fu- fah menyumbang kepada pengambilan cecair.
   
Tip mendapatkan lebih cecair
Minum pelbagai jenis cecair untuk mengelakkan kebosanan dengan jenis cecair yang sama setiap masa.
Letakkan kole atau bekas cecair di atas meja bekerja anda dan isi semula kole dengan kerap.
Apabila anda berhenti berehat, minum air untuk menyejukkan badan anda.
Bawalah minuman bersama-sama anda ke mana sahaja anda pergi, baik di dalam kenderaan mahu pun beg anda.
Jika anda bersenam atau sekiranya cuaca sangat panas, jangan lupa `membanjirkan’ tubuh anda dengan lebih banyak cecair. Minuman isotonik merupakan satu pilihan yang bagus untuk menggantikan semula elektrolit di dalam badan anda yang telah hilang.
   
Mary Easaw-John merupakan seorang pakar perunding diet yang mempunyai 23 tahun pengalaman di dalam bidang pemakanan dan dietetik. Maklumat di atas tidak lain dan tidak bukan bertujuan untuk mendidik orang ramai dan tidak menyokong mana-mana produk. Sebarang pertanyaan mengenai isi kandungan dan penggunaannya hendaklah dirujuk secara langsung kepada pakar diet berkelayakan.
   
 
 
< back