100PLUS Super Cup
Berita Harian
22 Febuari 2006

120,000 pelajar sertai program


Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad mengaku kalah terhadap hasratnya untuk menyaksikan negara beraksi dalam pusingan terakhir Piala Dunia sepanjang tempoh hayatnya.

Namun, ia tidak mengecewakannya kerana baginya apa yang lebih penting ialah memastikan hasrat itu akan akhirnya tercapai bagi generasi seterusnya melalui penerapan program pembangunan yang dimulakan sekarang.

Piala Super 100PLUS yang membabitkan 120,000 pelajar dari 2,000 sekolah di seluruh negara adalah program yang diharapkan dapat bertindak sebagai pemangkin kejayaan negara pada masa akan datang.

"Saya tahu saya tidak akan menyaksikan negara beraksi di Piala Dunia sepanjang hayat saya, namun saya tidak peduli mengenai itu.

"Apa yang lebih penting adalah untuk menerapkan asas kukuh ke arah itu menerusi peringkat pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi," katanya pada pelancaran Piala Super 100PLUS di Wisma FAM semalam.

"Turut hadir, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar; Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Ahamad Sipon serta Pengurus Besar Pemasaran Kawasan, Fraser & Neave (Singapura) Pte Ltd, Chris Ng.

Piala Super 100PLUS yang membabitkan RM2 juta yang diusahakan bersama oleh 100PLUS dan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).

Kejohanan itu merangkumi tiga kategori umur iaitu - bawah 12, bawah 15 dan bawah 18 sudah dimulakan dengan pelbagai kejohanan peringkat negeri yang akan berakhir dengan pusingan akhir.

Pusingan akhir Piala Super 100PLUS menyaksikan kategori bawah 15 berentap pada 22-27 April (Selangor). Bagi kategori bawah 18 pula dijadualkan 8-13 Ogos (Kedah) manakala kategori bawah 12 diadakan 28-30 November (Johor).
 
< back